Friday, October 23, 2009

Seloka Takrim Widak untuk ustaz Jaafar

Salam perpisahan dan takrim widak buat rakan sejawat ustaz Jaafar Rajuli yang bakal meninggalkan kita semua sepenuhnya bermula Isnin ini untuk meneruskan perjuangan sebagai Ketua Penolong Pengarah , Sektor Pendidikan Islam , Jabatan Pelajaran Selangor di Shah Alam.
Semalam Jumaat , satu majlis khas sempena perpisahan telah diadakan.




syabas pada cikgu Abd Rahim atas ehsan Naza Ria nya ... membawa Ust Jaafar dengan iringan pelajar sepanjang jalan menuju ke jamuan perpisahan beliau.


Antara gambar kenangan ustaz Jaafar ( tiga daru kiri) bersama ummi dan Mentor ustaz tu tuan Haji Rizuan Atan ( duduk kiri sekali )


Kenangan yang pasti sukar untuk dilupakan tentang Ustaz Jaafar adalah rekacipta pelbagai kolam yang telah dibinanya di intesaber ...




Bagi warga SBPISB.. doa kami moga ustaz beroleh kejayaan dalam segala usaha yang dilaksanakan. Jangan lupakan kami ye ....




Seloka Takrim Widak
(Dedikasi Untuk Ustaz Jaafar Rajuli)

Alkisah dengarlah ini satu cerita
Cerita benar bukannya dusta
Pada tanggal 18 Oktober 1958
Lahirlah seorang putera Jawa
Di Labu Kubung, Hilir Perak tempat tumpah darahnya
Setelah puas kitab dikaji
Setelah banyak rang tua dirujuki
Maka putuslah di hati Wak Rajuli
Jaafar namanya matan diberi

Putera diasuh di laman kampung
Dusun dan bendang tempat bertandang
Sepat, haruan, keli, dan puyu itulah hidangan
Pecal dan tempe santapan warisan
Tak lupa ubi rebus dan pisang salai
Menambah pejal otot di badan
Setelah tiba musim ketujuh
Putera yang lasak dibawa berteduh

Di SK Chenderong Balai putera diatur
Mengenal huruf dan juga nombor
Enam musim telah berlalu
Di sekolah dasar menuntut ilmu
Putera yang cerdik kelihatan nakal
Di benak Wak Rajuli timbulnya akal

Putera tak diutus ke sekolah gomen
Bimbangkan putera leka bermain
Madrasah Irshadiah sekolah pondok
Duduk letaknya di Bagan Datuk
Di situlah putera mengabdi diri
Mudah-mudahan menjadi da’i
Moga sejuklah perut bonda yang mengandung
Ilmu agama itulah yang ditenung

Sedarkan diri tidak bersijil
Masa hadapan menjadi musykil
Apakan jadi jika begitu
Di pasaran kerja pasti tak laku
Putera bertekad di sanubari
Belajar sendiri meningkatkan diri
Tanpa menyesali masa berlalu
Peperiksaan awam ditempuh satu persatu
SRP, SPM, dan STPM cuba dijawab
Usaha kendiri tanpa berguru
Tekun dan rajin tak kenal jemu
Kesemuanya lulus sijil dipangku
Putera desa bertambah yakin
Menapak pula ke menara gading
Di UKM pula menimba ilmu
Yang tak termimpi pun sebelum itu
Itulah bukti insan yang gigih
Tak pernah bosan tak pernah letih
Rasa rendah diri ditolak ke tepi
Bersainglah putera di gelanggang siswa siswi

Menara gading sudah ditinggalkan
Segulung ijazah sudah pun di tangan
Sarjana Muda Pengajian Islam itulah gelaran
Panggilan ustaz menjadi basahan
Tibalah waktunya di alam kerjaya
Ustaz muda menabur bakti
Di bilik darjah berhujah berperi
Mencurah ilmu mendandan peribadi
SM Convent St Francis, Kota Kinabalu
Letaknya di Negeri Di Bawah Bayu
SM Gombak Setia, Selangor ustaz pernah di situ
Antara 1994 – 2001 ustaz berkelana
Di SMK Tunku Abdul Rahman Putra
Menambah pengalaman menjadi pentadbir
Guru Kanan Kemanusiaan dan
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itulah jawatan

Namanya kini mula menjadi sebutan
Di bibir murid, sahabat dan taulan
Tanggal 2002 berhijrah pula ke SBPI Sabak Bernam
Penolong Kanan itulah jawatan
Membangun sekolah yang baharu didirikan
Banyaklah perkara yang perlu dilakukan
Mengangkat, menyusun segala perabot
Dan banyak lagi yang tak dapat disebut

Ustaz ini penyabar orangnya
Segala masalah tenang dicerna
Bagaikan Sang Kancil peguam di rimba
Segala soalan pasti ada jawapan
Petah menjawab jika di hadapan
Betul atau salah bukanlah ukuran
Yang penting yakin menjawab secara spontan

Di SBPI Sabak Bernam ustaz menabur bakti
Meneruskan kreativiti dan juga hobi
Seni Laman dan taman batu
Dibina dijaga tak mengira waktu
Untung dan rugi tak pernah bicara
Ringan tulangnya mereka cipta
Projek dibina tanpa berpelan
Namun siap dan dapat dimanfaatkan
Ustaz juga pencinta kereta
Jenama “Wak Segen” dalam koleksi
Pelbagai replika menjadi bukti
Disusun di meja dan juga almari
Makanan kegemarannya sup ceker
Dan iwak leleh goreng bersantan kencur
Pabila pekena hati terhibur

September 2009 Ustaz dilamar
JPN Selangor di situlah kamar
Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam
Menggamit ustaz walaupun tak tenteram
Maklumlah banyak kos melepas
Namun, cabaran pasti digalas
Agar jiwanya berasa puas

Ustaz punya keluarga
Seorang suri dan enam cahaya mata
Empat puteri dan dua putera
Alhamdulillah cerdas-cerdas belaka
Kediamannya di Lambaian Pinang Sebatang
Di Sungai Lias, Sungai Besar jemputlah bertandang
Ustaz pasti berkunjung ke situ
Mungkin waktunya pada hujung minggu
Majlis ini menjadi bukti
Takrim Widak nama diberi
Mengenang jasa ustaz bestari
Bakal berkelana membawa diri
Warga SBPI Sabak Bernam masih di sini
Keizinan diberi dalam terpaksa
Pemergian ustaz biarlah bahagia
Dipanjangkan usia bertemu pula
Keberkatan rezeki itulah yang dipinta.


Nukilan: Rizuan Atan


( Mentor Ustaz la ni .. @ Guru Cemerlang Gred Khas C )
Jumaat: 23 Oktober 2009

1 comment:

muhammad fakhruddin said...

1 per 1 cikgu2 sirna drpd SBPISB,thn dpn ustaz pulak...

masa sekolah,x terasa sgt.Dah habis sekolah ni, semuanya jadi rindu!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails