Wednesday, November 23, 2011

Mana arah mana tuju?

Assalamualaikum semua ..
Dah terlalu lama rasanya tak menulis dalam blog ni. Apa pun syukur masa ada kesempatan untuk ustaz catatkan sesuatu buat tatapan semua. Pagi ni tangal 23 November  ada satu cerita nak dikongsi sama. Semalam ustaz ke Pusat Service Toyota Puchong  untuk buat pemeriksaan lanjut Inova tu. Selesai pemeriksaan memang ada barang yang perlu diganti. Pagi ni ustaz bergerak semula ke Puchong untuk tujuan tersebut. ARAH dituju Puchong, MATLAMAT/TUJUAN pusat Service Toyota , CARA/JALAN  ke sana sudah pastinya menaiki kenderaan darat iaitu Inova ustaz tu lah. Tiba di satu persimpangan keluar ustaz belok kiri menghala ke putrajaya tanpa sedar.



Banyak perkara difikirkan sambil memandu sehingga tiba di satu lagi persimpangan baru sedar bahawa arah yang diambil menghala ke Kajang bukan Puchong. Syukur tak terlepas menghala ke Kajang. 10 minit terlepas, tak campur kos minyak dan lain-lain kos berkaitan jika nak diperincikan. Akhirnya tiba di tol Puchong dengan jalanraya yang sesak dengan ribuan kenderaan darat pelbagai jenis. HALANGAN besar sudah pastinya kesesakan melampau di kawasan ini. Ditambah dengan sikap pemandu yang tidak sabar, tidak berhati-hati atau cuai, simpang jalan yang banyak dan mengelirukan bagi mereka yang jarang menggunakan laluan ini. Beberapa insiden yang hampir mengakibatkan kemalangan kelihatan sepanjang laluan. apa tidaknya lampu isyarat membelok tak guna, mencelah laluan ikut sesuka hati, terburu-buru , tak cermat dsb. Seingat ustaz 2 kali pernah terlepas simpang sebelum ni kerana teragak-agak MEMBUAT  KEPUTUSAN hingga terpaksa berjalan jauh untuk patah balik ke laluan sepatutnya waktu mula berkunjung ke pusrat service tu.  BEKALAN yang baik saat ini adalah Fikiran yang berfokus ketika memandu, Hati yang tenang dan sabar, kenderaan yang berfungsi baik. PENGAKHIRAN cerita alhamdulillah sampai jua ke tempat yang dituju meskipun terlewat. Dimaklumakan alatan dan ditempah, ada REZEKI  jam 10 sampai jam 12 boleh selesai, jika sebaliknya jam 2  alatan sampai tunggulah hingga jam 4 petang.  Dengan sedikit ILMU /  EBIJAKSANAAN   urus tadbir banyak perkara sebenarnya dapat diselesaikan atas dunia ini serta mengurangkan kos yang semain meningkat saban masa. Demikian jugalah dengan urusan akhirat kita.

Memang cerita ini biasa kita lalui saban hari terutama mereka yang hidup dan tinggal dipersekitaran seumpama ini. Yang pentingnya apa PENGAJARAN yang dapat DIFIKIRKAN untuk dihayati direnungi dengan mata hati. Walaupun ustaz tahu arah dituju tapi kerana kurang fokus pada matlamat dan tujuan akhirnya tersasar. Kesilapan ini biasa kita lakukan dalam hidup samada sebagai warga pelajar, anak, sebagai suami atau isteri, sebagai ibubapa, sebagai ketua , pentadbir atau majikan. Ada kesilapan memberikan kesan minima saja tapi sesetengahnya amat memudaratkan jika gagal diurus dengan baik. Dengan setiap kesilapan yang sering kita lakukan janganlah sesekali takut untuk kita mengakui kelemahan diri dan yang lebih penting MEMPERBAIKI KELEMAHAN yang ada. Susah memang susah...  kerana setengah perkara , tabiat atau sikap kita tu sudah mendarah daging sejak sekian lama apatah lagi jika ia dilakukan di bawah minda sedar kita . Tapi tetap ada jalan dan cara mengatasinya jika kita sendiri mahu berusaha memperbaikinya. Bawalah berbincang untuk cari penyelesaian. Selain itu belajar dan berusahalah untuk bersikap PEMAAF kepada saudara kita kerana kita juga manusia biasa yang akan sering melakukan kesilapan sama. Sabda nabi .... setiap anak adam melakukan kesilapan dan kesalahan dan sebaik-baik mereka adalah yang bertaubat atas kesalahannya itu.

Halangan, cabaran dan dugaan sentiasa menanti kita di hadapan sana. Maka berhati-hatilah setiap kali kita MEMBUAT KEPUTUSAN.  Amalkan KOMUNIKASI TERBUKA DAN BERKESAN jika ia sememangnya turut melibatkan orang lain di sekeliling kita dan sentiasa berlapang dada dengan teguran yang diterima. BEKAL DALAMAN jauh lebih penting dari kemahiran luaran yang semestinya kita miliki kerana ia adalah benteng dan asas kekuatan kita dalam membuat keputusan dan tindakan. Tanpa Iman dan Tauhid, sesetengah manusia fikir, percaya dan yakin dunia ini tiada penghujungnya, tiada alam akhirat, tiada seksa kubur , tiada apa-apa makna selain tempat hidup dan bersukaria maka dia boleh berbuat sesuka hati tanpa memikirkan orang lain. Iman atau kepercayaan itu menentukan pandangan dan pesepsi kita terhadap kehidupan ini. Pesepsi kita menghasilkan sistem nilai dalam diri dan pemikiran. Seperti ustaz sebut sebelum ini sistem nilai ini membetuk sikap dan akhirnya menghasilkan tindakan kita samada baik buruk atau positif negatif. Memang sukar mengubah sikap tapi tidak mustahil untuk dilakukan kerana junjungan kita Nabi Muhammad SAW  sudah membuktikan.

Catatan ini untuk mengingatkan diri ustaz sendiri yang juga sering melakukan kesilapan dalam hidup sebagai manusia biasa disamping sebagai renungan semua pengunjung. Marilah kita memperbarui keazaman untuk tingkatkan amal ibadah dan kerja baik kita seikhlas mungkin kerana ianya sebaik-baik bekalan untuk menghadapi cabaran duniawi yang tiada penghujungnya hingga kiamat. Mulakan dari sekecil-kecil perkara. Mulakan sekarang atau saat ini dan jangan bertangguh. Mulakan dengan diri sendiri. Ambil contoh  berzikir tiap saat tidak memerlukan bantuan orang lain, solat sunat dhuha 2 rakaat juga begitu dan banyak lagi amal kebaikan yang mampu kita mulakan dari diri kita sendiri. Mohonkan pertolongan Allah dalam segala gerak kerja kita dan berserah lah atas segala ketentuanNya. Moga Allah sentiasa memberikan hidayah dan petunjukNya kepada kita semua mencari redhaNya di dunia ini sempena Awal Muharram yang bakal menjelma.

Kepada isteri tercinta dan anak-anak tersayang yang sering ditinggalkan di Sabak Bernam doakan moga segala urusan dipermudahkan Allah dan diberikan jalan keluar terbaik pada setiap permasalahan hidup. Selamat berjuang kepada semua calon SPM khususnya yang akan menduduki kertas Bahasa Arab Tinggi nanti. Jumpa lagi ...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails