Tuesday, May 26, 2009

Yang Terbaik dalam dunia


Assalamualaikum kepada pengunjung budiman ..
satu perkongsian dari rakan blogger untuk tatapan bersama .

berdiri , ditempat yang paling tinggi sekali dengan ISLAM !


Siapakah yang hidup dengan mensasarkan untuk menjadi yang terbaik di dalam dunia ini?
Ya, terbaik dalam dunia. Bukan hanya di dalam kelas, bukan hanya di dalam negara, tetapi terbaik, mengatasi sesiapa sahaja di dunia ini. Siapakah yang menyimpan cita-cita sedemikian?
Mungkin, ada yang akan menyatakan bahawa, mereka tidak berimpian sedemikian kerana itu adalah mustahil. Ya, mustahil untuk kita menjadi yang terbaik di dalam dunia, dalam apa jua bidang sekalipun. Hal ini kerana, dunia ini luas, dan terdapat pelbagai jenis manusia di dalamnya. Hem… Benarkah?


“ Kita mesti jadi yang The Best In The World!”
Itu adalah laungan yang sering kedengaran di Musolla MATRI hampir setiap kali ketika Perhimpunan Mingguan dijalankan. Kata-kata itu akan dilaungkan oleh orang yang sama, dengan penuh bersemangat. Nama orang itu adalah: Mohd Abdoh bin Zainal Abidin, atau mesra dengan gelaran ‘Sir’.
“ Kita mesti menjadi yang terbaik dalam……?” Gaya jeritan ini juga kadangkala menggantikan tempat jeritan yang pertama.
“ DUNIA!” pelajar-pelajar MATRI akan menyahut dengan penuh semangat.


Terbaik di dalam dunia. Bagi sebahagian orang, mungkin dia akan melihat bahawa jeritan-jeritan semangat ini hanyalah omongan kosong sahaja. Ya, macam yang dikatakan di awal artikel, mustahil untuk menjadi terbaik di dalam dunia. Ada ramai orang yang lebih hebat dari kita.
Tetapi, saya tidak nampak jeritan seorang Sir Mohd Abdoh bin Zainal Abidin saban minggu adalah omongan kosong sahaja. Malah, kata-katanya itu menyuntik semangat yang besar dalam jiwa saya.


Menjadi yang terbaik di dalam dunia, bukanlah bermaksud, kita mesti mendapat tempat pertama tanpa tandingan dalam medan yang kita ceburi. Tetapi, menjadi yang terbaik yang dilaung-laungkan Sir Mohd Abdoh adalah, kita berusaha memberikan yang terbaik dalam segala apa bidang yang kita ceburi.

Kenapa? Adakah kerana hendak mengharumkan nama sekolah? Tidak. Tetapi adalah kerana kita membawa imej ISLAM dalam kehidupan kita. Kita adalah refleks kepada ISLAM itu sendiri.
ISLAM itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi dari ISLAM. ISLAM lah satu-satunya deen yang diredhai ALLAH SWT.
“ Sesungguhnya deen di sisi ALLAH itu adalah ISLAM” Surah Ali-Imraan ayat 19.


Justeru, kita sebagai manusia yang menggalas deen ini dalam kehidupan, perlu memberikan yang terbaik dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Kalau anda lihat di MATRI, kata-kata ini seakan-akan terserap dalam perjalanan pelajarnya. MATRI, walaupun hanya sekolah kampung yang tidak mendapat bantuan kerajaan, walaupun hanya sekolah di hadapan kebun getah yang tidak mempunyai budget besar untuk persediaan pertandingan, walaupun hanya merupakan sekolah daif tanpa kelengkapan sukan yang lengkap, MATRI tetap berjaya menjadi sekolah terbaik di Perlis, dan dikenali di Malaysia. Pasukan Kawad Kaki Kadet Remaja Sekolah MATRI, adalah johan 7 tahun berturut-turut semenjak tahun 2002-2008, menewaskan segala sekolah yang ada. Pasukan Hoki MATRI dan Pasukan Bola Tampar MATRI pernah menjadi johan, menewaskan sekolah projek dalam sukan-sukan itu. Di dalam pelajaran, walaupun guru-guru MATRI ramai yang merupakan guru bersara, pelajar-pelajarnya ramai juga yang mendapat A berderet, malah ada yang pernah menjadi pelajar ke-2 terbaik STAM Malaysia, ada pelajarnya yang mendapat tempat 10 terbaik SPM dan PMR Perlis.

Tetapi, kami dididik bahawa itu semua bukan untuk sekolah semata-mata. Sebab sekolah akan berakhir bila tiba masanya. Laungan menjadi yang terbaik di dunia bukanlah untuk sekolah, tetapi untuk ISLAM, yang kita semua bawa sebenarnya. Sebab kita akan membawa deen ini, sehingga kita berdiri di hadapan ALLAH di akhirat nanti. Kejayaan kecemerlangan kita, hakikatnya adalah satu bentuk ibadah juga.

Maka, kita perlu mendaki, menjadi yang terbaik, dengan niat dan harapan, untuk mempamerkan kepada dunia bahawa, ISLAM adalah satu sistem yang benar dan menepati kehendak fitrah insani.

Sebab itu, selain hebat dalam pelajaran, seorang muslim dituntut mempunyai tubuh badan yang sihat, syakhsiah yang baik, akhlak yang menyenangkan, ilmu sampingan yang luas dan mahir dengan kemahiran hidup. Semuanya adalah untuk menterjemahkan ISLAM dan mempamerkannya kepada masyarakat.

Sebenarnya, dengan iltizam dalam ISLAM, mengikuti perintah ALLAH, dan meninggalkan larannganNya, itu sahaja sudah menjadikan kita yang terbaik di dunia. Hal ini kerana, yang tidak berada di dalam ISLAM, tiadalah mereka melainkan manusia yang rugi sahaja.
“ Barangsiapa yang mencari jalan hidup selain ISLAM, maka tidak akan diterima daripadanya segala sesuatu, dan dia di akhirat kelak tergolong di kalangan orang yang rugi” Surah Ali-Imraan ayat 85.


Dan jangan salah sangka bahawa ISLAM ini adalah berkenaan solat, zakat, puasa, haji, Al-Quran semata-mata. ISLAM ini adalah kehidupan. Menggapai kecemerlangan dunia dan akhirat!
“ dan dari kalangan mereka ada yang berdoa, wahai RABB kami, berikanlah kami kejayaan di dunia dan juga kejayaan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka” Surah Al-Baqarah ayat 201.

Saya, sehingga hari ini masih teringatkan laungan yang terbaik di dunia itu.
Hal ini kerana, saya sedang berusaha, bergerak di atas jalan laungan itu. Walaupun saya mungkin terjatuh, tersungkur, berkali-kali, saya tetap akan berdiri semula dan bangkit bergerak di atas jalan laungan itu.


Berusaha menjadi yang terbaik!

nukilan dipetik dari :

http://ms.langitilahi.com/yang-terbaik-dalam-dunia/

1 comment:

ust amir said...

Bila ustaz terbaca tulisan ini, memang ustaz bersetuju bahawa setiap kita mesti berusaha pada tahap yang terbaik dalam segala bidang yang diusahakan kerana ia mencerminkan peribadi seorang MUSLIM. Kenapa Islam dilabel dengan pelbagai label yang negatif. Adakah Allah tersalah pilih agama untuk diangkat menjadi agama pilihan? Pastinya TIDAK. Cuma kita orang Islam yang bertindak dan berbuat sesuatu dengan ala kadar sahaja, tidak berusaha dan memberikan yang TERBAIK dalam gerak kerja kita . Akhirnta begitu lah kelihatannya IMEJ KITA SEBAGAI MUSLIM.
Renung-renungkanlah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails